Ketika mula-mula mendengar Pearl Jam dahulu, pengenalan saya hanyalah melalui lagu ‘Spin The Black Circle’ dari album tahun 1994 mereka, Vitalogy yang memenangi anugerah ‘Best Hard Rock’ dalam anugerah Grammy lebih sepuluh tahun dahulu. Tertarik dengan trek ini, saya bingkas mencari CD Vitalogy walaupun ketika itu mereka lebih dikenali dengan hit klasik seperti “Black”, “Alive”, “Even Flow”, “Daughter” dan “Animal” dari 2 album terdahulu, Ten dan Vs. Saya terpegun apabila melihat packaging CD ini yang lain daripada kebiasaan CD-CD yang pernah saya ada. Ia dalam bentuk digipack, tetapi mengambil konsep sebuah buku kesihatan lama era Victorian yang dijumpai vokalis Pearl Jam, Eddie Vedder di sebuah perpustakaan. Untuk mendapatkan feel sebuah buku, package CD ini dibentuk secara menegak dan ia kelihatan pelik dan tidak praktikal jika disusun di rak CD. Seperti juga sebuah buku, inlay CD ini mengumpulkan fail-fail kesihatan lama, kolaj foto hitam putih selain lirik-lirik tulisan tangan atau yang ditaip dengan mesin taip Eddie Vedder. Inilah titik permulaan saya mengenali nama-nama seperti Coby Schultz, Barry Ament, George Estrada dan Mark Atherton yang menjadi tulang belakang disebalik seni packaging unik ini yang mengubah gaya seni packaging selepas itu. Kesenian bersaiz compact ini mereka teruskan kepada CD-CD Pearl Jam yang seterusnya seperti No Code, Yield, Live On Two Legs, Binaural dan Riot Act.
Setahun selepas Vitalogy, 4 individu ini sepakat untuk menubuhkan Ames Bros sebagai satu pasukan artistik yang memfokuskan kepada kerja-kerja seni visual untuk pakej muzik. Mereka boleh dikatakan sebagai pasukan seni khas untuk Pearl Jam kerana hampir kesemua kerja seni mereka dihasilkan untuk Pearl Jam. Ames Bros dikepalai oleh Barry Ament dan Coby Schultz, kedua-duanya dari Montana. Barry Ament ialah adik kepada pemain bass Pearl Jam, Jeff Ament. Jeff Ament juga terlibat di dalam Ames Bros secara tidak langsung dengan menyediakan foto-foto potret hitam putih yang anda dapat lihat di dalam inlay CD-CD Pearl Jam. Untuk CD No?Code, mereka mengumpulkan lebih dari 156 foto-foto Polaroid yang sebahagiannya menghiasi cover No Code. Rahsia kepada foto-foto ini ialah apabila kesemuanya disusun, ia membentuk logo No Code yang berbentuk segitiga.
Selain pakej cover dan inlay CD, mereka juga menghasilkan rekaan poster konsert, newsletter untuk kelab peminat Pearl Jam – Ten Club termasuk merchandise, snowboard, rekaan logo dan identiti syarikat.
Rekaan poster konsert silkscreen Ames Bros pula menjadi salah satu daripada item-item yang dicari peminat dan pengumpul poster konsert rock seluruh dunia. Rekaan poster mereka dipengaruhi gaya poster klasik Amerika, pop art dengan elemen-elemen sains fiksyen seperti angkasawan, UFO dan Godzilla. Mereka menerajui pergerakan pereka-pereka poster generasi baru menyambung legasi pereka-pereka poster yang lama seperti Frank Kozik dan Jason Austin. Rekaan Ames Bros juga menghiasi poster dan t-shirt untuk artis dan band seperti Phish, Neil Young, Radiohead, Coldplay, Sting, The Strokes, The Hives, John Mayer, Snoop Dog, Foo Fighters, Massive Attack dan pelbagai band independent.
Keunikan Ames Bros termeterai apabila mereka memenangi pelbagai anugerah seni visual termasuk pencalonan Grammy untuk packaging CD Vitalogy dan Yield.
Terbaru mereka mengembangkan seni mereka ke dalam bentuk rekaan t-shirt sebagai satu brand dengan melancarkan Ames Bros Gear. Ia dilihat sebagai alternatif kepada penggemar-penggemar t-shirt selain brand-brand t-shirt lain di pasaran seperti Obey Giant, Fuct dan Bathing Ape.
Susunan : Nazri Ahmadeus
No comments:
Post a Comment