Seabeast ialah salah satu episod dari novel terkenal Herman Melville iaitu “Moby Dick” yang telah diangkat menjadi filem bisu pada tahun 1926 dan ia juga adalah trek ke 3 dari album Mastodon, ‘Leviathan’. ‘Leviathan’ sendiri pada amnya ialah sebuah album konsep dengan isi cerita tertumpu kepada novel ‘Moby Dick’, yang berkisahkan tentang sekumpulan anak kapal dalam usaha mereka memburu seekor paus putih gergasi yang lebih dikenali sebagai Moby Dick. Video muzik ‘Seabeast’ mengambil salah satu fragmen daripada novel ‘Moby Dick’ iaitu babak pertarungan di antara Captain Ahab, Mr. Queequeg dan si paus Moby Dick. Jika menonton video muzik ini tanpa memahami konsep Leviathan atau sekurang-kurangnya membaca dan menonton sebarang adaptasi Moby Dick, anda mungkin sukar memahami maksud cerita video muzik ini.
Video muzik arahan bersama Jonathan Rej dan Tom Bingham dari Authority Films ini juga kaya dengan elemen visual gabungan barat dan timur dan ini memberi keunikan kepada ‘Seabeast’ berbanding video muzik yang sedia ada. Dapatkah anda bayangkan elemen filem bisu era 1920-an digabungkan dengan wayang kulit dari tanah nusantara?
Disamping itu, ia diperindahkan lagi dengan makhluk-makhluk pelik, yang sebenarnya adalah elemen baru yang tidak terdapat di dalam teks Moby Dick.
Temubual bersama JONATHAN (JONNY) REJ
ROTTW : Hai, Jonny. Boleh anda ceritakan inspirasi untuk video muzik ini? Adakah anda berdua mengambil satu gaya yang tertentu dalam menghasilkan video muzik ini ?
Jonny : Hai Nazri. Inspirasi kami datangnya dari filem-filem bisu seperti Trip To The Moon, Cabinet of Dr Caligary dan Nosferatu. Kami guna kamera 35mm yang lama (untuk kesan vintage), dirakam di sebuah teater era 1920-an yang terbiar iaitu Madison Theatre di Atlanta. Rekaan set dan makeup juga dibuat seperti cara yang digunakan ketika era 1920-an. Kami juga mendapat inspirasi dari seni kulit album ‘Leviathan’ yang dihasilkan oleh Paul Romano, seperti ombak besar Hokusai (satu seni catan purba dari Jepun) dan patung wayang kulit dari tanah nusantara.
ROTTW : Bagaimana dengan rekaan karekter? Saya lihat ada unsur Chtullu oleh H.P. Lovecraft pada satu karekter.
Jonny : Itu hasil kerja Dirk Hayes (seorang artis tatoo yang juga pereka boneka). Kami bergabung bersama Dirk serta artis-artis di Atlanta yang pernah berkerja untuk Atlanta Center For The Puppetry Arts. Dirk yang mereka makhluk-makhluk pelik untuk video muzik ini. Saya tak pasti dari mana dia mendapat idea tapi ianya memang cool.
ROTTW : Anda kenal rapat dengan band Mastodon ketika menghasilkan video ini?
Jonny : Saya sudah lama mengenali mereka, sebelum kami menghasilkan video muzik lagi. Sebelum Mastodon, mereka bersama band lain. Jadi ketika Mastodon sedang merancang untuk membikin video muzik, saya akan beritahu Brann (Dailor, pemain dram Mastodon) yang saya ingin hasilkan video muzik untuk mereka. Video muzik pertama yang kami hasilkan ialah Blood And Thunder, kemudian barulah Seabeast. Selepas itu kami hasilkan 2 video muzik dari album Blood Mountain, iaitu Wolf Is Loose dan Colony Of Birchmen , kedua-duanya dihasilkan dalam masa seminggu.
ROTTW : Apa projek terbaru Authority Films?
Jonny : Sekarang kami tidak lagi menghasilkan video muzik. Kami lebih banyak menghasilkan komersil tv dan juga projek bersama Adult Swim (satu saluran televisyen di bawah Cartoon Nertworks USA). Tapi saya ada berbincang dengan Brann beberapa minggu lepas dan dia mahukan kami menghasilkan video muzik untuk album terbaru mereka yang bakal keluar nanti. Kami suka berkerja dengan mereka, mereka hebat dan punya banyak idea jadi saya berharap dapat berkerja dengan mereka sekali lagi.
profil AUTHORITY FILMS
Team pengarah duo dinamik ini telah mula menempatkan diri mereka di dalam dunia pembikinan video muzik sejak 1o tahun berpangkalan di tempat asal mereka, Atlanta, Georgia. Jonny bertanggungjawab selaku penyunting video manakala Tom bertindak di bahagian sinematografi.
Kebanyakan video muzik mereka dihasilkan untuk band-band di bawah label indie dengan kos pembikinan di bawah US$100,000, antaranya Sloppy Meateaters – “Ballad of Boo Radley”, Stretch Arm Strong – “For the Record “, Glasseater – “Medicine”, Squad 5-0 – “I Don’t Want to Change the World, I Just Want to Change Your Mind”, Mars Ill – “Breathe Slow”, Kids In The Way – “Phoenix With a Heartache”, Grits – “Hittin Curves”, Man Or Astroman – “Miracle of Genuine Pyrex” dan 2 video muzik untuk Further Seems Forever – “The Sound” dan “Snowbirds and Townies”. Selain video muzik, mereka banyak menghasilkan komersil televisyen.
Kedua-dua graduan Savannah College of Art and Design ini gemar menghabiskan masa lapang mereka bersama skateboard dan muzik rock n roll.
No comments:
Post a Comment